- See more at: http://www.helperblogger.com/2012/05/add-facebook-like-button-to-blogger.html#sthash.zt4521Ye.dpuf
Setiap insan inginkan kebahagian di dunia hingga ke akhir hayat dan mengharapkan jua kebahagian hingga ke akhirat kelak. Salah satu cara untuk mencapai kebahagian itu ialah melalui sebuah perkahwinan. Dari zaman kanak-kanak lagi sesetengah orang sudak berangan-angan tentang perkahwinan. Mengapa saya katakan begitu ialah kerana semasa zaman kanan-kanak ada di antara permainan mereka ialah main pondok-pondok mengadakan lakonan meminang dan bersanding. Selepas itu melakonkan watak ibu, bapa dan anak-anak.
Berapa ramaikah yang dapat mencapai impian perkahwinan pada “right time, right place and with the right person”. Bagi wanita tentulah bila sahaja meningkat remaja dan umur terus meningkat, saudara mara, kenalan rapat akan menerjahkan soalan-soalan yang sudah tentunya mengugat perasaan dan pemikiran. Bila hendak berkahwin ataupun hendak makan nasi minyak? Dah ada boyfriend ke belum? Kenapa nak tunggu lama-lama?
Ada yang menyerahkan soal jodoh kepada suratan takdir. “Kalau ada jodoh adalah, kalau tidak ada nak buat macam mana. Hidup dan mati, jodoh pertemuan ditentukan oleh Allah, manusia hanya merancang Tuhan yang akan menentukan”. Tidak kurang juga ada yang berusaha keras untuk mencari jodoh walau dengan apa cara sekali pun biar pun desakan seakan menghalalkan cara. Itulah yang saya ingin utarakan isue ini yang saya panggil “perangkap cinta”.
Melalui pengamatan, penceritaan dan pengalaman seseorang saya dapati ramai yang sangup pasang perangkap cinta demi memenuhi impian sebuah perkahwinan dengan pasangan yang diidamkan. Pasangan yang terperangkap pula tidak menyedari tipu helah pasangan oleh kerana kekurangan ilmu pengatahuan.
Ada di antaranya sanggup berpura-pura hendak membunuh diri gara-gara pasangannya seolah-olah sengaja melewatkan menghantar rombongan meminang. Cubaan membunuh diri ini bermacam-macam cara di antaranya ialah hendak terjun ke dalam telaga, berlari ketengah jalan supaya di langgar kenderaan, makan panadol atau ubat tidor dalam kuantiti yang banyak, terjun dari bangunan tinggi, terjun ke dalam laut dan macam-macam lagi perkara aneh yang tidak masuk akal dan menjadi bahan lucu pula untuk di bincangkan di meja makan. Mengapa tidak, tektik tersebut bukanlah bertujuan untuk membunuh diri tetapi dilakukan adalah sekadar untuk menarik simpati pasangan untuk menyegerakan peminangan dan perkahwinan.
Andai bernasib baik, pasangan pula jenis simpati dan lembut hati maka usaha-usaha tersebut akan beroleh kejayaan. Bagaimana pula andaikata usaha tersebut tidak berjaya malahan cubaan membunuh diri tersebut mendatangkan kemudaratan kepada diri sendiri. Mati tidak, tubuh sendiri jadi sangsara mendapat kecederaan dan menjadi bualan lucu pula oleh saudara mara, sahabat handai dan masyarakat. Impian tidak dapat dicapai, kekecewaan terus menghantui diri dan berlaku kemurungan dan tekanan perasaan yang tidak berpenghujung. Kecuali lah kembali kejalan kebenaran dan merubah kehidupan dan pemikiran yang lebih positif.
Ada juga yang memerangkap cinta dengan cara sanggup mengadai maruah dan harga diri kononnya demi untuk membuktikan cinta. Pepatah kata orang tua-tua “jangan bermain api nanti terbakar diri” itulah padahnya apabila tersalah pilih jalan dan silap perkiraan. Pasangan yang lembut hati kemungkinan ada yang bersimpati, merasa kasihan dan bertanggupjawap sanggup menikahi kononya bertanggungjawap dan ingin menebus kekesalan, kesalahan dan dosa. Bagaimana pula andai pasangannya enggan bertanggungjawab dengan alasan, “tidak akan menikahi wanita murahan, tidak ada maruah dan harga diri, mungkin sudah bekas-bekas orang lain, tidak layak menjadi calon isteri dan berbagai-bagai alasan lagi yang memang ada logiknya. “Kalau hendak seribu daya, dah dapat tidak mahu bertanggungjawab malahan berbagai-bagai alasan pula yang diberikan”.
Di zaman moden, zaman sains dan teknologi sepatutnya orang tidak lagi mempercayai kaedah tahayul dan syirik seperti sihir, ubat guna-guna, susuk dan seumpanya tetapi semakin moden semakin menjadi-jadi kaedah penggunaannya untuk perangkap cinta. Tidak terkecuali juga yang menggunakan ayat-ayat suci Al-Quraan sebagi jampi serapah. Sesetengahnya mengena kemungkinan pasangannya adalah yang memang jenis lemah semangat. Bagaimana pula sekiranya tidak menjadi dan tidak mengena. Duit habis ribuan ringgit, masa dan usaha terbuang dan sia-sia. Alasan bomoh, belum menjadi, tidak serasi dan bomoh boleh pula buat tuduhan pasangan yang diidamkan ada membela hanturaya, jin dan kemungkinan saka.
Begitu sukar sekali bagi pihak wanita yang memilih jalan singkat untuk mengharapkan pasangan meminang dan seterusnya melangsungkan pernikahan dan perkahwinan. Ini adalah kerana zaman moden ini hanya segelintir sahaja anak gadis dijodohkan melalui urusan yang di padankan oleh keluarga. Selebihnya mencari pasangan sendiri. Pihak wanita bukan boleh dan senang hendak memilih-milih seperti memilih antah di dalam beras kerana yang memilih dan meminang adalah dipihak lelaki. Itulah di antara perangkap cinta wanita tujuannya adalah hanya satu iaitu untuk menjalin ikatan hingga bersanding di atas pelamin.
Ada sesetengahnya perkahwinan melalui peroses terperangkap dalam cinta, ada yang memerangkap pasangannya. Sudah tentu di sebalah pihak tidak berpuas hati dengan ini boleh mengundang salah faham, pertengkaran, bahan ungkitan dan rentetan perisiwa demi peristiwa akhirnya berlaku pembubaran perkahwinan kerana kedua belah pihak merasakan tidak ada kebahagian.
Nasihat saya jauhi lah tipu helah semasa bercinta, bersikap jujur dengan pasangan, kalau cinta katakana cinta. Kalau tidak cinta beranilah mengatakan tidak. Janganlah berpura-pura semasa bercinta kerana lakonan semasa berumahtangga tidak sama dengan lakonan semasa bercinta. Tembelang perangai diri akan terserlah berperingkat-peringkat dalam masa satu minggu, tiga bulan, satu tahun, 3 tahun, 5 tahun sehingga berapa lamakah pasangan anda sanggup bertahan……..
Bagaimana pula perangkap cinta lelaki?
Akan saya utarakan di lain masa. Walau bagaimana pun tulisan ini tidak ada kena mengena dengan individu tertentu sama ada yang masih hidup atau pun yang sudah mati. Hanyalah sekadar membincangkan isue-isue semasa “banyak udang banyak garamnya, ramai orang macam-macam ragamnya. Jadikan iktibar, yang baik jadikan teladan dan yang buruk jadikan sempadan.